[Video] 5 Tragedi Kapal Selam Tenggelam

Kapal selam merupakan sebuah ciptaan yang hebat, kerana dapat membantu manusia menyelam dengan bantuan mesin pada kedalaman yang sukar untuk kita jangkau dalam tempoh yang panjang.

Namun dalam masa yang sama, risiko duduk di tengah-tengah air apatah lagi di tengah lautan terdedah dengan bahaya serta tekanan air yang sudah pastilah tinggi tanpa boleh mengharapkan bantuan hadir dengan mudah – menjadikan kapal selam satu mod pengangkutan yang berisiko tinggi.

Sepanjang penggunaannya, sudah beberapa kali kapal selam mengalami kegagalan fungsi sehingga mengakibatkan keseluruhan anak kapal serta kapal itu sendiri kini terdampar di dasar lautan.

Berikut adalah lima kemalangan paling menakutkan melibatkan kapal selam yang mengorbankan banyak nyawa semasa jatuhannya.

KRI Nanggala 402

Insiden paling baru yang berlaku mengorbankan 53 nyawa petugas tentera laut Indonesia ini sungguh menyayat hati. Semasa menjalankan latihan peluru berpandu pada 21 April 2021, kapal selam didapati terputus hubungannya dengan ibu pejabat selepas lebih sejam diberikan kebenaran memulakan latihan.

Kod kecemasan mula diwartakan ekoran ketiadaan maklum balas. Media diberitahu bahawa bekalan oksigen dalam kapal selam tersebut sepatutnya mencukupi untuk mereka bertahan selama 3 hari.

Operasi mencari dan menyelamat yang disertai beberapa negara termasuklah negara kita mula meronda sebelum tompokan minyak ditemui berdekatan dengan kawasan di mana kapal selam itu dipercayai hilang.

Selang dua hari kemudian, barangan peribadi yang dipercayai milik petugas kapal selam mula ditemui – memberikan petunjuk tidak baik kepada pasukan penyelamat. Ujian sonar di kawasan berdekatan menemui kapal selam itu pada kedalaman 850m, jauh melebihi tahap ketahanan rangkanya yang mampu bertahan pada jarak 500 meter sahaja.

Tinjauan yang dilakukan kenderaan penyelam tanpa pemandu mendapati kerangka kapal selam itu telah terbelah 3, ekoran kegagalan menahan tekanan air dan semua anak kapal terkorban. Jenazah mereka sedang diusahakan untuk diselamatkan bagi membolehkan pengebumian yang lebih sempurna dijalankan.

Changcheng 361

Pada 16 April 2003, semasa dalam perjalanan pulang ke pengkalannya yang terletak di Qingdao, kapal selam Changcheng 361 milik tentera laut China berdepan masalah mekanikal akibat kegagalan mematikan kuasa enjin.

Kapal selam tersebut ketika itu baru saja selesai menjalani latihan, menempatkan 70 orang anak kapal termasuk 13 orang kadet pelatih Akademi Laut yang turut sama menyertai misi latihan.

Bagi menjana kembali kuasanya, generator kuasa perlu diaktifkan yang diketahui akan mula menggunakan udara dengan banyak. Untuk menampung kekurangan udara yang berlaku, satu ruangan saluran udara akan diapungkan di permukaan air bagi membolehkan udara disedut.

Namun salur udara yang sepatutnya terus membekalkan udara semasa enjin dihidupkan semula gagal berfungsi, mengakibatkan bekalan oksigen dalam kapal habis digunakan dalam kadar pantas – menurunkan bekalan oksigen kepada sifar dalam jangka masa 2 minit.

Disebabkan ketiadaan bekalan oksigen, kru dan anak kapal mula mengalami masalah pernafasan sebelum keseluruhannya meninggal dunia. Lebih malang, semasa kejadian anak kapal Changcheng 361 sedang menjalani latihan di mana semua perhubungan dengan pihak luar perlu diputuskan.

Kapal selam itu hanyut selama 10 hari tanpa dikesan sebelum ditemui oleh nelayan yang terserempak dengan periskop kapal tersebut yang berada di atas permukaan air. Kesemua anak kapal terkorban dalam nahas itu.

USS Thresher

Dalam lipatan sejarah, USS Thresher milik tentera laut Amerika Syarikat menjadi kapal selam nuklear pertama di dunia tenggelam di lautan, membawa bersama kesemua anak kapalnya.

Apa yang berlaku semasa tenggelamnya kapal ini diklasifikasikan rahsia oleh tentera Amerika Syarikat.

Semasa kejadian, USS Thresher pada ketika itu sedang menjalani latihan bagi mengenalpasti kebolehan maksimanya di lautan. Ini kerana pada era tersebut, teknologi yang dipasang pada USS Thresher merupakan yang terbaik dalam kelasnya.

Selepas beberapa sesi ujian pada 9 April 1963, petugas USS Thresher mula melaporkan berlakunya kerosakan kecil yang memerlukan mereka naik ke permukaan. Malangnya kapal itu langsung tidak kelihatan selepas itu.

Pencarian yang dilakukan sekitar Lautan Atlantik berjaya menemui kapal selam itu pecah kepada 6 bahagian, kesemua 129 anak kapalnya terbunuh.

Laporan rasmi apa yang berlaku dalam insiden itu ditutup – sehinggalah seorang pesara tentera laut berpangkat Komander bernama Jim Bryant berjaya memenangi tuntutan saman di mahkamah terhadap tentera laut Amerika Syarikat pada bulan Februari tahun 2020.

Mahkamah memerintahkan tentera laut Amerika Syarikat untuk mendedahkan 300 muka surat laporan insiden tersebut setiap bulan, bermula bulan Mei tahun 2020 sehinggalah lengkap kesemuanya pada Oktober tahun tersebut.

Hasil pendedahan ini menunjukkan tahap latihan yang diberikan kepada petugas kapal selam tersebut tidak memadai, disebabkan oleh keyakinan mereka kepada teknologi yang dipasang pada kapal selam tersebut.

Disebabkan kurang latihan, petugas USS Thresher gagal membaiki dan membaik pulih masalah kebocoran salah satu saluran yang mengakibatkan air laut mula masuk – merosakkan sistem elektrik kapal itu.

Petugas juga didapati gagal mengawal situasi dengan baik semasa berdepan kecemasan mengakibatkan huru-hara dalam kapal mencetuskan panik.

ARA San Juan

Kehilangan kapal selam ARA San Juan milik tentera laut Argentina ini pada awalnya menemui jalan buntu.

Hilang pada 15 November 2017, pencarian selama lebih 15 hari melibatkan 27 buah kapal, 30 kapal terbang, 4,000 petugas daripada 13 negara tidak menampakkan sebarang hasil selepas kapal selam itu terputus hubungan semasa ujian latihan.

Bagi meneruskan usaha, kerajaan Argentina menawarkan ganjaran RM21 juta kepada mana-mana pihak yang berjaya menemui kapal selam tersebut. Cabaran itu disahut sebuah syarikat pengkaji dasar lautan bernama Ocean Infinity, apabila mereka memulakan pencarian pada 7 September 2018 dengan bantuan tentera Argentina.

Pada 16 September 2018 hasil pemantauan mereka menemui bangkai kapal selam itu dengan bantuan teknologi dron tanpa pemandu, pada kedalaman 907 meter dalam keadaan berkecai teruk.

Dalam insiden ini, 44 orang anak kapal terbunuh.

PNS Ghazi

PNS Ghazi merupakan kapal selam milik Pakistan yang pertama beroperasi kawasan Asia Selatan, menjadi antara senjata paling digeruni tentera India semasa perang mereka dengan Pakistan pada dekad 1960-an.

Dinamakan sebagai Diablo sebelum disewabeli oleh tentera Pakistan, kapal selam keluaran tahun 1944 itu dibaikpulih untuk kegunaan tentera Pakistan bermula pada tahun 1964 dan dinamakan semula sebagai Ghazi.

Pada 16 November 1971 semasa kemuncak perang kedua-dua negara, PNS Ghazi ditugaskan buat kali pertama untuk belayar secara sulit bagi memusnahkan sebuah kapal pengangkut gergasi INS Vikrant milik India, dilaporkan sekitar Teluk Bengal.

Selepas kegagalan menemui sasaran, PNS Ghazi menukar taktik untuk meneruskan misi keduanya memasang periuk api di beberapa kawasan strategik. Namun kehadiran kapal selam itu berjaya dikesan sebuah kapal perang milik India bernama INS Rajput.

Dua tembakan dilepaskan dipercayai mengenai tepat pada badan PNS Ghazi menenggelamkan kapal selam tersebut, seterusnya mengorbankan 93 orang kesemuanya; seorang berpangkat komander, 10 orang pegawai dan 82 orang kelasi yang menyertai misi sebenar bersama PNS Ghazi buat kali pertama.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑