[Video] Benarkah Kucing Hitam Pembawa Malang?

Kebanyakan orang sukakan kucing kerana sifat manja dan kecomelan haiwan itu. Walaupun haiwan peliharaan itu disayangi tetapi kucing hitam khususnya, sering menjadi mangsa kepercayaan tahyul.

Kucing hitam sering dilihat sebagai petanda buruk, nasib malang atau dikaitkan dengan ilmu sihir. Malah, ada juga masyarakat Melayu beragama Islam yang percaya bahawa mayat tidak boleh ditinggalkan bersendirian kerana khuatir akan dilangkahi kucing hitam dan hidup semula!

Pelbagai lagi kisah aneh yang dikaitkan dengan kucing hitam. Bagaimanakah haiwan comel yang dilahirkan berbulu hitam ini menjadi simbol malang? Sebenarnya, ia sudah bermula sejak ribuan tahun lagi.

Ketika zaman Mesir kuno, kucing merupakan haiwan yang amat disayangi. Dipercayai bahawa setiap isi rumah ketika itu membela sekurang-kurangnya seekor kucing.

Ini kerana tamadun itu terbina atas hasil bijirin. Kucing merupakan haiwan terbaik menjaga hasil tuaian daripada haiwan perosak seperti tikus. Namun, kucing hitam mempunyai keistimewaan berbanding warna lain.

Dewi Bastet merupakan dewi yang popular pada zaman itu. Ia dipercayai menjadi penjaga kepada wanita, keluarga, kesuburan dan menghalang penyakit serta roh jahat. Dewi Bastet dipercayai menjelma sebagai wanita berkepala kucing hitam.

Penyembahan terhadap kucing hitam ini berlarutan selama ribuan tahun sehinggalah kepada tamadun Rom. Pada tahun 375 Masihi, Maharaja Theodosius I yang beragama Kristian telah melarang semua agama purba termasuklah penyembahan kepada Bastet.

Berbeza pula dengan kisahnya di India. Kucing hitam sering dikaitkan dengan Dewa Shani Bhagwan, dewa yang mampu meramal nasib malang. Jika kucing hitam melintas di hadapan mereka, penganut Hindu percaya bahawa ia adalah petanda yang diberikan Dewa Shani.

Untuk selamat, mereka akan membiarkan orang lain lalu di hadapan bagi “memindahkan” nasib malang itu kepada individu lain.

Zaman Pertengahan bermula sekitar abad ke-5 dengan kejatuhan Empayar Rom. Pada waktu inilah, kucing hitam benar-benar mengalami nasib yang buruk

Menurut cerita rakyat dari Zaman Pertengahan, seorang bapa dan anaknya telah melempar batu ke arah seekor kucing hitam. Kucing hitam yang cedera itu kemudian berlari dan bersembunyi di sebuah rumah seorang wanita.

Penduduk setempat pula sering mengesyaki tuan rumah itu mengamalkan ilmu sihir. Mereka menjadi semakin curiga apabila wanita itu dilihat keesokan harinya dengan kesan lebam dan berjalan tempang. Orang ramai menyimpulkan bahawa wanita itu adalah ahli sihir yang menyamar sebagai kucing hitam.

Apabila amalan ilmu sihir dipercayai berleluasa di Eropah dan Amerika, kucing hitamlah yang sering menjadi mangsa.

Pada tahun 1233, ketua gereja Katolik iaitu Pope Gregory IX telah mengumumkan bahawa kucing hitam adalah jelmaan Iblis itu sendiri. Idealogi ini sebenarnya sama seperti yang dilakukan Maharaja Theodosius I untuk menghalang orang mengamalkan agama lain seperti penyembahan Bastet.

Oleh kerana gereja merupakan organisasi paling kuat dan berpengaruh di Eropah ketika itu, penganut Kristian mula memburu kucing hitam dan membakar haiwan itu hidup-hidup. Perbuatan ini menyebabkan kucing hampir pupus di beberapa bahagian di Eropah pada abad ke-14.

Tanpa kucing untuk mengawal populasi haiwan perosak, jumlah tikus meningkat di luar kawalan sehingga menjadi penyebab utama penyebaran wabak
paling banyak menyebabkan kematian dalam sejarah manusia iaitu Wabak Bubonic atau Black Plague.

Reputasi buruk berkaitan kucing hitam bukan sahaja terhad di Eropah sahaja tetapi tersebar di pelbagai budaya lain. Bukan sahaja kucing, malah haiwan lain yang berwarna hitam seperti burung gagak juga terkena tempiasnya.

Ketika Amerika sedang rancak memburu ahli sihir pada abad ke-16 dan ke-17, membela kucing hitam sudah cukup untuk membuatkan anda dituduh mengamalkan ilmu sihir.

Ratusan malah mungkin ribuan wanita telah dibicarakan dan dijatuhkan hukuman mati kerana disyaki mengamalkan ilmu sihir. Kucing hitam sekali lagi menjadi mangsa apabila banyak yang diseksa, ditaman atau dibakar hidup-hidup.

Kucing hitam dianggap sebagai teman dan pembantu kepada ahli sihir yang mengintip untuk mereka. Kucing hitam juga dipercayai digunakan dalam upacara ilmu hitam untuk mencuri roh dan berinteraksi dengan dunia ghaib.

Mungkin, kepercayaan tidak berasas ini yang membuatkan kucing hitam mempunyai reputasi buruk sehingga hari ini. Namun, tidak semua budaya mempercayainya malah ada yang menganggap haiwan itu membawa nasib berbeza.

Pelayar pada abad ke-8 sering membawa kucing hitam mengikuti pelayaran mereka. Bukan sahaja haiwan itu hebat memburu tikus tetapi dipercayai dapat meramal cuaca dengan tepat dan dianggap memberi tuah kepada pelayaran

Bagi masyarakat Jepun, memiliki kucing hitam bermakna mereka akan dipermudahkan dalam urusan mencari jodoh. Kucing hitam juga dibela oleh pemburu harta karun di Chile. Menurut cerita rakyat negara itu, kucing hitam adalah haiwan bertuah yang memberikan kekayaan kepada tuannya.

Kesimpulannya, tiada satu dakwaan bahawa kucing hitam membawa nasib malang atau tuah dapat dibuktikan benar. Mereka adalah sama seperti kucing-kucing lain yang manja dan suka dibelai.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑