[Video] Mengenali Pengarang Bercakap Dengan Jin

Nama Tamar Jalis mungkin sedikit janggal bagi generasi pada hari ini. Namun, nama ini cukup terkenal bagi generasi pembaca era 80-an hingga tahun 2000 terutamanya di kalangan mereka yang gemarkan kisah seram.

Tamar Jalis sebenarnya adalah nama pena kepada penulis novel bergenre seram paling popular di Malaysia. Karya beliau yang paling mahsyur adalah Siri Bercakap Dengan Jin (SBDJ).

Beliau telah menghasilkan sebanyak 284 Siri Bercakap Dengan Jin sepanjang tempoh 23 tahun 6 bulan. Sebanyak 16 buku koleksi SBDJ berjaya diterbitkan dan dianggarkan penulisannya berjaya terjual melebihi sejuta naskah.

Ini menunjukkan karya SBDJ tulisan Tamar Jalis lebih banyak terjual berbanding mana-mana buku Sasterawan Negara yang pernah diterbitkan sehingga kini.

Nama sebenar penulis adalah Ahmad @ Mohd Radzi Mahmud dan beliau dilahirkan di Beruas, Perak, pada 19 September 1938.

Selepas tamat persekolahan, beliau melakukan beberapa pekerjaan sebelum menjadi wartawan sambilan untuk Warta Negara, Utusan Melayu dan Berita Harian pada 1960.

Apabila berhijrah ke Kuala Lumpur, beliau dilantik menjadi penyunting akhbar Harian Watan. Pada tahun 1981, Ahmad Mahmud dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Variapop Sdn. Bhd. yang menerbitkan majalah Variapop, Variasari dan Famili.

Selain Ahmad Radzi, nama pena Tamar Jalis juga pernah digunakan oleh A. Jalil Miran, bekas wartawan yang turut menulis kisah seram untuk Variasari dan Variapop dan hal ini diakui sendiri oleh Ahmad Radzi. A. Jalil Miran meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat serangan jantung.

Nama pena Tamar Jalis diambil sempena nama anak jin jahat, watak yang terdapat dalam Hikayat Inderaputera.

Siri Bercakap Dengan Jin adalah novel seram bersiri yang diterbitkan dalam majalah Variasari dari April 1981 sehingga Januari 2005. Novel mistik ini telah mencetuskan fenomena pada tahun 1980-an.

Hasil populariti SBDJ, majalah Variasi dicetak sehingga 120,000 naskhah sebulan. Selama hampir 30 tahun, penulis SBDJ bersembunyi di sebalik nama Tamar Jalis sebelum mendedahkan identitinya yang sebenar.

SBDJ menceritakan kisah mengenai jin dan makhluk halus dalam kehidupan masyarakat Melayu. Ia juga memaparkan sosio-budaya, falsafah, perubatan tradisional, seni persilatan serta pengembaraan di Tanah Melayu dan Sumatera.

Kelainan SBDJ ialah ia memaparkan memaparkan kisah benar atau separa benar yang dialami sendiri oleh penulis dan datuknya, Kulup Muhamad Diah @ Long Mat Piah.

Penulisan bercorak memoir atau autobiografi ini menarik minat pembaca kerana watak-watak yang ditulis memang wujud. Contohnya kehebatan Pak Itam di Kampung Gajah.

Menurut Ahmad Radzi, kira-kira 60 peratus kandungan SBDJ adalah berdasarkan kisah benar serta pengalamannya bersama datuknya yang mahir dalam ilmu perubatan tradisional.

Ketika kanak-kanak dan remaja, beliau sering mengikuti datuknya ke sekitar negeri Perak untuk mengubati mereka yang terkena gangguan makhluk halus. Kebetulan pula, rumahnya hanya bersebelahan dengan rumah datuknya.

Pengalaman melihat dan mendengar suara makhluk halus khususnya daripada individu yang dirasuk jin memberi idea kepada Ahmad Radzi untuk menulis SBDJ.

Ahmad Radzi juga dipujuk oleh rakannya, Datuk Mustafa Ton, yang merupakan penerbit majalah Variasari untuk menulis SBDJ. Mustafa Ton telah melantik Ahmad Radzi sebagai Ketua Pengarang Variapop Group untuk meningkatkan hasil jualan naskhah mereka.

Ternyata, SBDJ berjaya membuahkan hasil. Malah, majalah Mastika yang terkenal ketika itu juga mula memasukkan penulisan bergenre seram kerana fenomena SBDJ.

Pada tahun 2015, drama SBDJ telah ditayangkan di saluran Astro Mustika HD dan Astro Bella. Siri ini diterbitkan oleh Datuk Yusuf Haslam di bawah Skop Productions dan diadahkan oleh Lando Zawawi dan C. Kumarean. Drama sebanyak 13 episod ini dibintangi oleh Datuk Rahim Razali (Atuk) dan Zakaria Ahmad (Tamar).

Selain SBDJ, beliau juga menulis banyak novel dan cerpen (cerita pendek) lain. Cerpen-cerpennya disiarkan dalam pelbagai majalah seperti Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Mastika serta akhbar-akhbar seperti Berita Minggu, Utusan Zaman, Mingguan Malaysia dan Watan.

Ahmad Radzi juga menggunakan beberapa nama pena lain selain Tamar Jalis seperti Atma A.M dan Ramadhan A.M bagi menulis novel dan cerita berlainan genre.

Pada 26 Ogos 2018, negara kehilangan bakat penulisan yang besar apabila Tamar Jalis atau Ahmad @ Mohd Radzi Mahmud menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sumbangan beliau begitu besar dan akan sentiasa diingati sebagai salah satu khazanah negara.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Website Powered by WordPress.com.

Up ↑